Kerajaan muktamadkan dasar projek rumah generasi kedua Felda dalam sebulan

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Kerajaan akan memuktamadkan dasar berkaitan projek rumah generasi kedua di semua kawasan FELDA di seluruh negara dalam tempoh sebulan bagi mempercepat proses pemilikan kediaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arahan kepada TNB supaya segera memasang bekalan elektrik dan tidak mengemukakan alasan.
  • Kerajaan negeri bertanggungjawab jalan dan bekalan air; kerajaan persekutuan sedia menilai bantuan pembiayaan jika menghadapi masalah kewangan.
  • Keputusan dasar akan dibincangkan bersama kerajaan negeri melalui mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier, dengan laporan kemajuan bulanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dipercepatkan, termasuk menyelesaikan isu penyediaan utiliti asas seperti bekalan elektrik, air dan infrastruktur jalan.

“Dua minggu lalu, selepas selesai lawatan di Jengka, saya terus mengarahkan TNB supaya memasang bekalan elektrik sebaik sahaja mendapat maklum balas sementara daripada kerajaan negeri. Maknanya, isu bekalan elektrik sudah selesai.

“Saya juga beritahu TNB supaya tidak lagi memberi alasan atau membawa sebarang masalah kepada saya. Bagi isu jalan dan bekalan air pula, itu di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Saya sudah meminta pengerusi berkaitan mengemukakan surat mengenainya.

“Sekiranya ada kerajaan negeri yang berdepan masalah kewangan, kita akan mempertimbangkan untuk membantu dengan mencari sumber pembiayaan serta meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan, sama ada sebahagian atau sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Program Santai Perantau sempena 70 Tahun Felda di Dewan Perdana Felda, di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa keputusan dasar itu akan dibuat selepas perbincangan bersama kerajaan negeri menerusi mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri serta Premier.

Bagi mengelakkan sebarang kelewatan, Perdana Menteri turut mengarahkan agar laporan kemajuan pelaksanaan projek dikemukakan setiap bulan.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan penduduk FELDA, khususnya mereka yang telah lama menantikan penyelesaian isu perumahan, dapat menikmati manfaat projek berkenaan.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap pengumuman yang dibuat sebelum ini dilaksanakan dengan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.