Kerajaan teliti inisiatif bagi perkasa Galeri Karyawan Nordin Ahmad

Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 25 Julai – Kerajaan akan meneliti inisiatif yang sesuai bagi memperkasakan Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di sini sebagai usaha memelihara khazanah seni dan filem Melayu untuk tatapan generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri akan berunding dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk bentuk sokongan, bantuan atau khidmat nasihat pengurusan galeri.
  • FINAS diminta membantu menyediakan bahan arkib termasuk klip filem lama beresolusi tinggi untuk memperkayakan koleksi galeri.
  • Cadangan mempertingkatkan kandungan dan kaedah pameran menjadi lebih interaktif, memanfaatkan teknologi digital dan platform media sosial untuk menarik golongan muda.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perpaduan Negara bagi melihat bentuk bantuan, sokongan atau khidmat nasihat dalam menguruskan galeri itu memandangkan muzium berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.

Beliau memaklumkan usaha yang digerakkan oleh penggiat seni dan karyawan Pulau Pinang untuk mengangkat legasi Allahyarham Datuk Nordin Ahmad wajar diberikan sokongan kerana tokoh itu merupakan antara ikon penting dalam era kegemilangan filem Melayu.

“Ketokohan Datuk Nordin Ahmad tidak boleh dipertikai dan saya nampak usaha seperti ini membuka lembaran baharu terutama untuk generasi muda mengenali bukan hanya karya-karya, lagu-lagu tetapi juga sedikit sebanyak tentang sejarah perjalanan hidup Allahyarham,” katanya selepas melawat galeri itu hari ini.

Datuk Seri Fahmi turut meninjau ruang pameran interaktif yang menampilkan foto arkib, memorabilia dan bahan digital berkaitan Allahyarham yang merupakan antara pelakon unggul dan bintang besar pada era filem Melayu klasik.

Beliau turut memaklumkan akan meminta FINAS untuk membantu menyediakan bahan arkib termasuk klip filem lama dalam resolusi tinggi bagi memperkayakan koleksi galeri berkenaan.

Datuk Seri Fahmi turut mencadangkan agar kandungan serta kaedah persembahan di galeri itu dipertingkatkan supaya lebih bersifat interaktif dan dekat dengan golongan muda termasuk memanfaatkan teknologi digital serta kandungan media sosial.

“Terdapat banyak cara termasuk menyediakan filter atau background untuk anak muda buat kandungan TikTok, jadi nanti kita akan bantu untuk galeri ini untuk terus berkembang,” katanya.

Galeri Karyawan Nordin Ahmad dibuka pada Januari 2025 mempamerkan kehidupan dan karya anak jati Permatang Pauh itu yang dikenali melalui lakonan ikonik dalam filem Semerah Padi (1956) dan Hang Jebat (1961).

Melalui Program Geran Pekan Seberang Perai di bawah Levelling Up Seberang Perai (LUSP), dengan sokongan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, sebahagian bangunan bersejarah SK Permatang Pasir yang dibina pada 1888 yang juga tempat Allahyarham bersekolah, diubah suai menjadi galeri berkenaan.

Selepas 55 tahun pemergiannya, legenda filem Melayu itu dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) secara anumerta yang membawa gelaran Datuk pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena dengan Hari Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada 11 Julai lepas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.