
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Seramai 3,500 penari memeriahkan Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka malam ini yang menampilkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
- Citra Perarakan menampilkan muzik, tarian, busana tradisional dan persembahan kebudayaan yang mencerminkan identiti masyarakat berbilang kaum.
- Anjuran Tourism Malaysia dengan sokongan DBKL, Warisan Kuala Lumpur, JKKN, Istana Budaya dan Muzium Tekstil Negara.
- Menarik lebih 700 pelancong antarabangsa dari negara seperti China, India, Jepun, Vietnam, Indonesia dan Eropah.
- Terdapat lebih 70 gerai makanan, 20 reruai aktiviti kebudayaan, 10 reruai seni kraf dan aktiviti warisan interaktif.
Acara Citra Perarakan (Colours of Parade) itu mengetengahkan persembahan muzik, tarian, busana tradisional dan pelbagai pertunjukan kebudayaan yang mencerminkan identiti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Citrawarna 2026 dianjurkan Tourism Malaysia dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya serta Muzium Tekstil Negara.
Acara berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Citrawarna 2026 turut menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan khas, melibatkan peserta dari China, India, Mauritius, Jepun, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis.
Ia turut menampilkan lebih 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan serta 10 reruai seni dan kraf tangan.
Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti warisan secara langsung termasuk seni canting batik, anyaman ketupat, demonstrasi juadah tradisional, permainan tradisional dan aktiviti interaktif bersama artisan serta penggiat budaya.
Selain persembahan tradisional, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan antaranya Wani Kayrie, Dr Soo Wincci, Santesh Kumar, Ernie Zakri dan Aina Abdul serta Kumpulan Balle-Balle.
Program berlangsung selama tiga hari itu berakhir esok menampilkan empat komponen utama iaitu Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni.