Tabung Kasih@HAWANA: Beri manfaat kepada pengamal media

Foto BERNAMA

KANGAR, 10 Oktober – Pengamal media yang berdepan masalah kesihatan terus menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM .

RINGKASAN BERITA AI
  • Purkhan Mokhtar menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM susulan masalah kesihatan.
  • Beliau menjalani fisioterapi setiap minggu sejak November 2025.
  • Sumbangan disampaikan oleh Ketua Biro BERNAMA Perlis Nurrul Huda Ahmad Lutfi di kediamannya.
  • Tabung Kasih@HAWANA X TM disokong dana CSR Telekom Malaysia untuk memperluas bantuan kepada pengamal media memerlukan.

Antaranya ialah bekas kakitangan Jabatan Penyiaran Perlis, Purkhan Mokhtar yang menerima sumbangan berkenaan susulan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Beliau yang bersara wajib pada 2020 kini terpaksa menjalani fisioterapi setiap minggu sejak November 2025.

Sumbangan disampaikan Ketua Biro BERNAMA Perlis Nurrul Huda Ahmad Lutfi di kediamannya, di Dato Kayaman, Padang Besar, di sini.

Hadir sama Pengarah Penyiaran Perlis Fathil Hidayat Gazali.

Purkhan melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan berkenaan, hasil inisiatif Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA yang
sentiasa menjaga kebajikan pengamal media.

“Terima kasih kepada semua pihak, terutamanya RTM dan BERNAMA, yang sudi berkunjung ke rumah saya untuk menyampaikan sumbangan dana HAWANA ini.

“Sumbangan yang diberikan hari ini amat bermakna dan membuatkan saya terharu. Ia membuktikan bahawa pihak kementerian dan jabatan di bawahnya amat prihatin terhadap kebajikan saya,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Purkhan, yang turut dikenali sebagai DJ Anak Kampung, memulakan kerjaya bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1982 sebagai pembantu siaran.

Beliau kemudian bertugas sebagai juruhebah Radio 3 Kangar, yang kini dikenali sebagai PerlisFM, dari 1991 hingga 2013.

Sepanjang 38 tahun berkhidmat dengan RTM, beliau turut menyandang jawatan Timbalan Pengarah Penyiaran Perlis sebelum bersara pada April 2020.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA melalui sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM), dalam usaha memperluas bantuan kepada pengamal media memerlukan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.