BAP ringankan beban kewangan ibu bapa

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – Keputusan kerajaan meningkatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP)daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid,selain memberikan Elaun Sara Hidup sebanyak RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam menerusi Belanjawan 2027 melegakan ibu bapa atau penjaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meringankan beban kewangan keluarga dalam menyediakan keperluan pendidikan anak.
  • Ibu bapa berkata lebihan bantuan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan sekolah.
  • Bantuan memberi peluang kepada pelajar merancang perbelanjaan sendiri, terutamanya pelajar menengah.
  • Seramai 5.3 juta murid layak menerima bantuan dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion, disalurkan melalui sekolah.

Pengumuman tersebut sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menyediakan keperluan pendidikan bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Bagi Nurain Yahya peningkatan tersebut sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan membeli barangan keperluan persekolahan.

“Saya mempunyai tiga orang anak. Apabila bantuan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, memang sangat membantu saya. Tambahan pula, harga barang sekarang semakin meningkat. Jadi, lebihan bantuan itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan sekolah anak-anak,” kata Nurain Yahya.

Sementara itu, Nor Hidayah Roslan berkata bantuan berkenaan memberi peluang kepada anak-anak untuk merancang sendiri perbelanjaan.

“Bantuan itu sebenarnya untuk anak-anak sendiri. Mereka menerima wang setahun sekali bagi membeli keperluan masing-masing. Bagi anak yang bersekolah menengah, mereka menerima wang itu secara tunai dan boleh merancang sendiri barang yang ingin dibeli. Tahun ini, saya amat berterima kasih kerana jumlah bantuan ditambah lagi,” katanya.

Bagi Nurul Hayati Mohd Nor pula, peningkatan bantuan itu amat bermakna memandangkan beliau mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah.

“Ini satu perkara yang baik kerana saya mempunyai empat orang anak yang bersekolah. Sebelum ini, kami menerima RM150 dan kini jumlahnya meningkat kepada RM200. Sedikit sebanyak, bantuan ini dapat meringankan perbelanjaan keluarga,” katanya.

Untuk tujuan itu, seramai 5.3 juta murid layak menerima Bantuan Awal Persekolahan berkenaan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 bilion.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu akan disalurkan melalui sekolah bagi menyokong keperluan pendidikan serta membantu perkembangan akademik dan pembentukan sahsiah murid.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.