
KANGAR, 10 Oktober – Bantuan 2.62 bilion ringgit diperuntukkan kerajaan bagi membantu golongan pesawah di seluruh negara menerusi pelbagai bentuk subsidi dan insentif bawah Belanjawan 2027
- Subsidi meliputi benih, baja, racun, upah membajak dan jaminan harga padi ringankan kos pengeluaran.
- Insentif Penuaian Padi dinaikkan daripada RM50 ke RM100 sehektar setiap musim.
- Insentif pembajakan dikekalkan dan diperluas ke Sabah serta Sarawak; petani digalakkan meneliti insentif pembiayaan RM1 bilion.
Bantuan berkenaan membolehkan pesawah menikmati sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah meliputi subsidi benih, baja, racun, upah membajak serta jaminan harga padi.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi,Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan, insentif berkenaan secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan kepada pesawah untuk mendepani kos pertanian yang semakin tinggi.
Antaranya peningkatan kadar Insentif Penuaian Padi daripada RM50 ke RM100 sehektar bagi setiap musim.
Sementara itu, kadar Insentif Pembajakan turut dikekalkan dan diperluaskan kepada pesawah di Sabah dan Sarawak.
“Kita berharap golongan petani dapat mengambil peluang yang disediakan melalui pelbagai bantuan dan insentif yang ditawarkan. Jangan berasa bimbang atau takut untuk mencuba. Sebaliknya, ambillah inisiatif untuk memahami dan mengenali insentif yang disediakan agar peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Petani juga disarankan agar meneliti dengan lebih lanjut bentuk insentif pembiayaan berjumlah RM1 bilion yang telah diumumkan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu di konti PerlisFM bersempena dengan Pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri.