SARA, STR ringankan beban kewangan golongan memerlukan

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – Peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah, (STR) bagi 2027 meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
  • SARA MADANI RM100 diberikan dua kali membantu penerima merancang perbelanjaan sepanjang tahun.
  • SARA boleh digunakan di 216 pasar tani FAMA, manfaat sehingga sembilan juta penerima STR dan 13 juta termasuk kelompok M40.

Menerusi pengumuman Belanjawan 2027, semua penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

Bagi penerima Husni Zaim Abd Latif, pemberian SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali dilihat langkah tepat dalam membantu penerima merancang perbelanjaan.

“Lebih baik dibuat macam itu. Jadi, ada dua kali bantuan yang boleh dirancang dengan lebih bijak, untuk suku pertama, separuh pertama dan separuh kedua bagi tempoh setahun,” katanya.

Sementara itu, Wan Nazrul Mubin Wan Abd Nasir, Nor Hidayah Roslan dan Mohd Rozali Hassan menyambut baik bantuan berkenaan yang disifatkan mampu menampung keperluan harian serta meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan.

“Bersyukurlah, dapat duit untuk digunakan bagi keperluan asas dan menampung keperluan yang kurang,” kata Wan Nazrul Mubin.

“Saya menyambut baik pengumuman berkenaan. Setahun sekali dapat ganjaran daripada Perdana Menteri,” kata Nor Hidayah Roslan.

“Bantuan berkenaan dapat dinikmati rakyat dan pengguna, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan bagi pembelian barangan keperluan harian,” kata Mohd Rozali Hassan.

Terdahulu, kerajaan turut bersetuju membenarkan penggunaan SARA untuk pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.

Kedua-dua inisiatif bantuan itu dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima STR dan 13 juta rakyat Malaysia menerusi SARA, termasuk golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.