JAKARTA, 26 Mac- Kajian terbaharu oleh para saintis menunjukkan terdapat kemungkinan bahawa harimau Jawa yang diisytiharkan telah pupus sejak lebih 40 tahun lalu masih wujud di Jawa Barat, Indonesia.
Para saintis dari Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia bersama ahli pemuliharaan menemui genetik harimau Jawa pada sehelai bulu yang ditemui pada 2019 di sebuah ladang di hutan berhampiran bandar Sukabumi, menurut kajian terbitan Cambridge University Press minggu lepas.
Helaian bulu itu dilapor diambil pada pagar yang didakwa dilompat haiwan terbabit, begitu juga kesan tapak kaki dan cakaran.
“Berdasarkan temu bual mendalam kami dengan (penduduk) Ripi Yanur Fajar, yang melihat harimau itu, kami percaya bulu itu adalah daripada harimau Jawa.
"Sama ada harimau Jawa masih hidup di alam liar perlu disahkan dengan kajian genetik dan lapangan lanjut," menurut kajian tersebut.
Sehubungan itu, Ketua Pemuliharaan di Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Satyawan Pudyatmoko berkata, langkah segera akan dilakukan oleh kerajaan bagi menjejaki haiwan berkenaan termasuk menyediakan perangkap kamera di hutan terbabit.
"Kami menghargai penyelidikan itu. Terdapat beberapa tindakan yang kami lakukan dan akan lakukan untuk bertindak balas terhadap penelitian tersebut.
"Jika terbukti masih wujud, sudah tentu ia akan menjadi haiwan yang dilindungi. Menjadi kewajipan semua pihak termasuk masyarakat untuk turut serta memelihara populasi mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua Program Hutan dan Hidupan Liar di Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Indonesia turut menghargai usaha penyelidik tetapi berkata, sampel bulu adalah "sangat terhad" dan perlu disahkan dengan lebih banyak sampel lain dan kaedah ujian genetik.
Beliau juga menyatakan kebimbangan apabila penemuan itu didedahkan kepada umum kerana risiko "mencelikkan" pemburu haram.
Harimau Jawa diisyitiharkan pupus secara rasmi pada tahun 1980-an kerana pemburuan haram dan konflik antara manusia.
Selain harimau Jawa, harimau Bali juga diisyiharkan pupus pada 1940-an.
Ketika ini, Indonesia hanya mempunyai spesis harimau Sumatera iaitu kurang 400 ekor yang semakin terancam oleh pemburuan haram. -AFP