fb fb fb fb fb

Bot karam Indonesia: 11 terselamat, 22 lagi masih hilang

Foto Hiasan/ REUTERS

JAKARTA, 13 Mac- Sebelas nelayan Indonesia terselamat, manakala 22 lagi dilaporkan masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka terbalik sebelum karam pada Sabtu lalu di perairan Kepulauan Selayar di daerah Sulawesi Selatan.

Bot dengan sekurang-kurangnya 35 anak kapal itu terbalik pada Sabtu di perairan terpencil Kepulauan Selayar di Provinsi Sulawesi Selatan sebelum 11 orang itu ditemui terdampar di dua atol berasingan selepas beberapa hari terapung di laut.

Menurut agensi mencari dan menyelamat, mangsa yang terselamat berada di laut dan hanya berpaut pada bot yang terbalik selama tiga hari dan bot mereka terbalik ketika cuaca buruk sewaktu musim hujan di Indonesia.

Pegawai Kerajaan Tempatan, Andi Caco Amras, berkata mangsa yang selamat telah terapung di laut selama tiga hari dan ada mangsa ditemui di dua lokasi berasingan.

Bot nelayan itu berlepas dari pelabuhan Jakarta Utara pada 3 Mac ke Pulau Lombok di daerah Nusa Tenggara Barat dan Tentera laut serta sukarelawan penyelamat membantu dalam usaha mencari dan menyelamat berkenaan.

Pegawai mencari dan menyelamat Andi Raswan berkata, pasukan penyelamat akan menjalankan operasi mencari dan menyelamat dan mereka telah berlepas pada pagi ini.

Katanya, pasukan penyelamat akan mengambil masa lima jam untuk sampai ke lokasi.

Memetik laporan agensi berita negeri Antara, mangsa yang terselamat ditemui selepas nelayan tempatan melihat mereka sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada pihak berkuasa.

Jelas Andi kepada AFP, mereka yang terselamat itu bertahan selama tiga hari di laut dengan memakai jaket keselamatan dan mengikat diri mereka pada bot.

"Mereka hanyut bersama bot ke pulau Selayar. Bot itu terbalik, bahagian bawah bot berada di bahagian atas.

"Kapal seberat 93 tan kasar itu membawa peralatan menangkap ikan seperti bubu ikan, jala, batu, tali, daun kelapa dan pancing.

"Seramai 35 orang berada di dalam bot itu dengan 22 hilang manakala agensi penyelamat memberi angka lebih tinggi iaitu 37 dan 24 hilang," katanya.

Adalah perkara biasa di Indonesia untuk bilangan penumpang sebenar di atas bot berbeza daripada jumlah yang dilaporkan pada awal kejadian.

Pihak berkuasa menerima laporan mengenai kejadian itu awal Selasa tetapi berkata cuaca buruk telah menghalang usaha mereka.

Kemalangan di perairan laut adalah perkara lazim di Indonesia, sebuah kepulauan Asia Tenggara dengan sekitar 17,000 pulau, disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar.

Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI