fb fb fb fb fb

18 orang maut akibat banjir, tanah runtuh di Indonesia

Foto AFP

JAKARTA, 10 Mac- Sekurang-kurangnya 18 orang terkorban manakala lima lagi hilang dalam insiden banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku di pulau Sumatera, Indonesia.

Pemangku Ketua Agensi Mitigasi Bencana Pesisir Selatan, Doni Gusrizal berkata insiden yang berpunca daripada hujan lebat itu melanda Kabupaten Pesisir Selatan di wilayah Sumatera Barat.

Kejadian menyebabkan kira-kira 46,000 orang terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.

"Kesan daripada banjir sangat luar biasa. Pada masa ini kita sedang membersihkan jalan... kenderaan tidak boleh menggunakan laluan ini.

"Insiden turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan selepas bencana itu," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Agensi Mitigasi Bencana Negara Indonesia memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 14 rumah tertimbus di dalam tanah runtuh, lebih 20,000 rumah dinaiki air dan lapan jambatan runtuh susulan insiden tersebut.

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh terutama apabila musim hujan dan masalah itu menjadi semakin buruk di beberapa kawasan disebabkan aktiviti penebangan hutan, dengan hujan lebat berpanjangan menyebabkan banjir di beberapa tempat di negara tersebut.

Disember lalu, tanah runtuh dan banjir menghanyutkan berpuluh-puluh rumah serta memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera; menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terkorban.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM