TAIPEI, 31 Disember -Kementerian Pertahanan Taiwan mendakwa China melancarkan puluhan roket ke perairan berhampiran pulau itu dalam satu latihan ketenteraan berskala besar pada Selasa.
Timbalan Ketua Turus Am bagi Risikan, Kementerian Pertahanan Taiwan, Hsieh Jih-Sheng berkata, Tentera Pembebasan Rakyat China melancarkan kira-kira 27 roket antara pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Menurut beliau, pelancaran roket itu dikesan dari kawasan Pingtan dan Shishi di wilayah Fujian, China, dengan sasaran latihan meliputi perairan utara Keelung serta kawasan barat berhampiran Tainan dan Kaohsiung.
“Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, sebanyak kira-kira 27 roket telah dilancarkan ke zon latihan yang ditetapkan.
Latihan berkenaan bukan sahaja bertujuan memberi tekanan ketenteraan terhadap Taiwan, malah menjejaskan keselamatan penerbangan antarabangsa,” katanya pada sidang media.
Menurut data Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Taiwan, sebanyak 941 penerbangan antarabangsa terjejas akibat penutupan ruang udara sementara sepanjang latihan itu.
Hsieh turut menyifatkan latihan tersebut sebagai usaha China untuk menormalisasi tekanan ketenteraan di sekitar Taiwan.
“Skala latihan ini semakin meningkat dan dijalankan sangat hampir dengan wilayah kami.
Mesejnya jelas, mereka mahu menggambarkan Selat Taiwan sebagai perairan dalaman mereka,” katanya.
Beliau menambah, walaupun kekuatan ketenteraan yang digunakan tidak besar, corak latihan yang berulang memberi kesan psikologi serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Taiwan dan masyarakat antarabangsa.
Latihan yang dinamakan “Justice Mission 2025” itu bermula 11 hari selepas Amerika Syarikat mengumumkan pakej penjualan senjata bernilai AS$11.1 bilion kepada Taiwan, yang sebelum ini mencetuskan kemarahan Beijing. -REUTERS