fb fb fb fb fb

Protes tercetus di Yaman susulan pengunduran baki pasukan tentera UAE

Peserta himpunan mengibarkan bendera UAE dan STC serta melaungkan slogan sokongan / REUTERS

ADEN, 31 Disember -Protes tercetus di beberapa kawasan di selatan Yaman pada Selasa selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penamatan misi baki pasukan tenteranya di negara itu.

Demonstrasi disertai penyokong Majlis Peralihan Selatan (STC), kumpulan pemisah yang disokong UAE.

Tunjuk perasaan itu diadakan sebagai bantahan terhadap gesaan Rashad al-Alimi, Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden Yaman yang disokong Arab Saudi, supaya pasukan UAE berundur dari Yaman dalam tempoh 24 jam.

Timbalan Setiausaha Agung STC, Nazar Haitham menyifatkan kenyataan al-Alimi sebagai tidak sah dan dibuat secara unilateral tanpa persetujuan bersama kepimpinan negara.

“Kami berdiri bersama pakatan Arab dan bersama Emiriah Arab Bersatu, sekutu setia yang telah menyokong rakyat selatan sejak awal perang pada 2015,” katanya.

Seorang aktivis STC, Muhammad Anwar pula menolak gesaan pengunduran UAE dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap perjuangan rakyat selatan Yaman.

“Kenyataan itu memalukan dan tidak mencerminkan realiti perjuangan rakyat selatan yang telah lama menuntut hak mereka,” katanya.

UAE sebelum itu mengumumkan penamatan secara sukarela misi baki pasukan antikeganasannya di Yaman.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas pakatan tentera pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas Pelabuhan Mukalla.

Menurut Riyadh, serangan tersebut menyasarkan penghantaran senjata yang mempunyai kaitan dengan UAE.

Insiden tersebut dilihat sebagai peningkatan ketegangan paling serius setakat ini antara Arab Saudi dan UAE, dua sekutu Teluk yang sebelum ini berganding bahu dalam konflik Yaman sejak 2015. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN