fb fb fb fb fb

UAE tamatkan sepenuhnya misi ketenteraan di Yaman secara sukarela

Papan iklan memaparkan imej Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, bersama Aidarous al-Zubaidi, ketua Majlis Peralihan Selatan (STC), di Aden, Yaman / REUTERS

ABU DHABI, 31 Disember -Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penamatan sepenuhnya misi pasukan keselamatan negara itu yang masih berada di Yaman.

Kementerian Pertahanan UAE memaklumkan, keputusan tersebut dibuat secara sukarela selepas penilaian menyeluruh terhadap perkembangan keselamatan semasa.

Langkah itu sekali gus menamatkan baki kehadiran ketenteraan UAE di negara berkenaan.

“Sehubungan perkembangan terkini dan implikasinya terhadap keselamatan serta keberkesanan operasi, Kementerian Pertahanan memutuskan untuk menamatkan misi anggota antikeganasan yang masih berada di Yaman,” menurut kenyataan itu.

Penarikan keluar tersebut dilaksanakan dengan penyelarasan bersama rakan antarabangsa dan memberi keutamaan kepada keselamatan anggota terlibat.

Kementerian itu menegaskan langkah berkenaan sejajar dengan komitmen UAE dalam menyokong keselamatan dan kestabilan serantau, berdasarkan keperluan fasa semasa.

Pengumuman itu dibuat susulan serangan udara pakatan tentera pimpinan Arab Saudi ke atas Pelabuhan Mukalla di selatan Yaman, yang menurut Riyadh menyasarkan penghantaran senjata dikaitkan dengan UAE.

UAE sebelum ini menyertai pakatan Arab yang dipimpin Arab Saudi sejak 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman, memerangi keganasan serta membantu usaha mewujudkan keselamatan dan kestabilan.

UAE menegaskan kehadiran ketenteraannya telah ditamatkan secara rasmi pada 2019 selepas misi utama diselesaikan, dengan baki kehadiran terhad kepada anggota khusus bagi operasi antikeganasan. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN