ISTANBUL, 31 Disember -Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan keputusan Israel mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka sebagai tidak sah dan tidak boleh diterima.
Tegas beliau, tindakan Israel itu juga berpotensi menggugat kestabilan rantau Tanduk Afrika.
Erdogan berkata, langkah tersebut menunjukkan usaha kerajaan Israel untuk meluaskan ketegangan geopolitik ke Afrika selepas konflik berlarutan di Gaza dan beberapa negara lain di Asia Barat.
“Keputusan Israel mengiktiraf Somaliland adalah tidak sah dan tidak boleh diterima.
Dengan darah puluhan ribu rakyat Palestin di tangan mereka, kerajaan Netanyahu kini cuba mencetuskan ketidakstabilan di Tanduk Afrika,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, selepas pertemuan rasmi di Istanbul.
Presiden Somalia turut menegaskan penolakan tegas terhadap tindakan Israel yang disifatkan sebagai pencerobohan terhadap kedaulatan negara itu.
“Kami menolak sepenuhnya tindakan haram Perdana Menteri Netanyahu yang mengiktiraf sebahagian wilayah Somalia sebagai negara merdeka.
Tindakan ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu dan prinsip Kesatuan Afrika,” katanya.
Mohamud turut merakamkan penghargaan kepada negara rakan serta institusi antarabangsa yang mengambil pendirian tegas menyokong Somalia susulan pengumuman Israel pada 26 Disember lalu.
Israel sebelum ini menjadi negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf Republik Somaliland, wilayah yang mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral daripada Somalia sejak 1991, namun tidak pernah diiktiraf secara meluas oleh masyarakat antarabangsa.
Keputusan itu dijangka mencetuskan perubahan besar terhadap landskap geopolitik serantau, selain menguji pendirian tegas Somalia yang sejak sekian lama menolak sebarang usaha pemisahan wilayahnya. -REUTERS