fb fb fb fb fb

Perkhidmatan Eurostar digantung akibat gangguan bekalan kuasa

Gangguan bekalan kuasa menjejaskan perjalanan antara London dan benua Eropah, sekali gus menyebabkan kesesakan penumpang di Stesen St Pancras / REUTERS

LONDON, 30 Disember -Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Eurostar merentas Terowong Channel digantung sementara pada Selasa.

Ia susulan masalah bekalan kuasa di terowong yang menghubungkan Britain dan Perancis.

Insiden berkenaan berlaku di salah satu laluan rel antarabangsa paling sibuk di Eropah, ketika aliran perjalanan sempena sambutan tahun baharu berada pada tahap tinggi.

Gangguan itu menjejaskan perjalanan antara London dan benua Eropah, sekali gus menyebabkan kesesakan penumpang di Stesen St Pancras, London, ketika musim puncak percutian akhir tahun.

Jurucakap Eurostar berkata, perkhidmatan digantung demi keselamatan operasi, namun tidak dapat dipastikan bila operasi disambung semula.

Syarikat itu turut memberi peringatan kepada penumpang berhubung kelewatan serius serta pembatalan perjalanan, seperti dipaparkan pada papan maklumat di stesen berkenaan.

Setakat ini, jumlah penumpang terjejas belum dapat dipastikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Getlink selaku pengendali infrastruktur Terowong Channel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung punca gangguan bekalan kuasa tersebut. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN