fb fb fb fb fb

Arab Saudi lancar serangan di pelabuhan Mukalla, desak UAE berundur dari Yaman

Asap kelihatan dari kawasan pelabuhan selepas serangan berlaku / REUTERS

MUKALLA, 30 Disember -Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas Pelabuhan Mukalla di selatan Yaman pada Selasa menerusi pakatan tentera yang dipimpinnya.

Serangan itu menyasarkan kawasan dok pelabuhan yang digunakan untuk memunggah kargo daripada dua buah kapal.

Bagaimanapun, sasaran sebenar dan asal-usul kargo terlibat tidak dapat dipastikan.

Media rasmi Arab Saudi melaporkan, serangan berkenaan tidak mengakibatkan kematian atau kerosakan sampingan.

Rakaman yang disahkan Reuters menunjukkan asap dari kawasan pelabuhan, serta kehadiran kenderaan serta anggota keselamatan di sekitar lokasi.

Susulan serangan itu, Arab Saudi menegaskan keselamatan negaranya adalah satu 'garis merah' dan menyokong gesaan supaya pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berundur dari Yaman dalam tempoh 24 jam.

Arab Saudi dan UAE sebelum ini bersama-sama menyertai pakatan tentera di Yaman sejak 2015 bagi menyokong kerajaan negara itu dalam konflik bersenjata yang berlarutan.

Namun perbezaan kepentingan di kawasan selatan mencetuskan ketegangan. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN