fb fb fb fb fb

Empat cedera, 100 dipindahkan susulan kemalangan kereta kabel di Itali

Pemandangan udara sebuah stesen kereta kabel ketika operasi pemindahan penumpang dilakukan / REUTERS

MACUGNAGA, 31 Disember -Sekurang-kurangnya empat individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta kabel di kawasan pergunungan barat laut Itali, pada Selasa.

Dalam kejadian itu, kira-kira 100 penumpang lain termasuk kanak-kanak dan pelancong asing dipindahkan ke lokasi selamat dengan bantuan helikopter.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kemalangan berlaku apabila dua kabin kereta kabel melanggar stesen atas dan bawah sistem berkenaan, berhampiran perkampungan Macugnaga di wilayah Piedmont.

Perkhidmatan bomba Itali memaklumkan, tiga penumpang di dalam kabin atas mengalami kecederaan, manakala seorang lagi mangsa ialah operator kereta kabel di aras bawah.

Pengarah Urusan syarikat pengendali, Macugnaga Trasporti e Servizi, Filippo Besozzi berkata, salah satu kabin dipercayai gagal memperlahankan kelajuan sebelum melanggar penghadang stesen.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada kecederaan serius dilaporkan.

Susulan kejadian itu, operasi kereta kabel dihentikan sementara, menyebabkan penumpang terkandas di stesen atas Gunung Monte Moro pada ketinggian kira-kira 2,800 meter.

Media tempatan melaporkan proses pemindahan dilakukan secara berperingkat menggunakan helikopter penyelamat.

Menurut penyiar nasional RAI, sistem kereta kabel tersebut dibina pada 1962 dan menjalani kerja naik taraf dua tahun lalu dengan kos kira-kira €2 juta. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN