ANKARA, 30 Disember - Polis Turkiye menahan 357 suspek yang disyaki anggota kumpulan Islamic State (IS) dalam operasi kebangsaan pada Selasa.
Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, tindakan itu dibuat sehari selepas tiga anggota polis dan enam anggota IS terkorban dalam pertempuran bersenjata di barat laut negara itu.
"Operasi serentak dijalankan di 21 wilayah seluruh negara. Sebelum ini, pejabat pendakwa raya Istanbul memaklumkan polis menyerbu 114 premis di Istanbul dan dua wilayah lain, merampas pelbagai dokumen serta bahan digital berkaitan," katanya.
Pertempuran berlaku pada Isnin (29 Disember) di sebuah rumah di bandar Yalova, di pantai Laut Marmara selatan Istanbul, yang berlangsung selama lapan jam. Insiden itu berlaku seminggu selepas lebih 100 suspek IS ditahan kerana didakwa merancang serangan bersempena Sambutan Krismas dan Tahun Baru.
Dalam operasi di Yalova, lapan anggota polis dan seorang anggota pasukan keselamatan lain turut cedera. Rumah tersebut adalah salah satu daripada lebih 100 premis yang disasarkan pihak berkuasa pada Isnin.-REUTERS.