JAKARTA, 24 Disember- Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala 39 lagi cedera selepas berlaku letupan di loji pemprosesan nikel yang dibiayai China di timur Indonesia, pagi tadi.
Letupan itu berlaku di sebuah kilang milik PT Indonesia Tsingshan Stainless Steel di Taman Perindustrian Morowali di Sulawesi Tengah.
Jurucakap syarikat itu, Dedy Kurniawan menerusi satu kenyataan berkata seramai 51 orang terlibat dalam insiden itu setakat ini.
"Tujuh warga Indonesia dan lima pekerja asing maut dalam insiden tersebut.
"Siasatan awal menunjukkan letupan berlaku semasa kerja pembaikan pada relau apabila cecair mudah terbakar menyala dan letupan seterusnya menyebabkan tangki oksigen berhampiran meletup.
"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut," katanya.
Januari lalu, dua pekerja termasuk seorang warga China terbunuh di kilang peleburan nikel di taman perindustrian yang sama selepas rusuhan tercetus semasa bantahan berhubung syarat keselamatan dan gaji. - AFP