Negeri Sembilan perkukuh hab industri halal, tarik pelabur global

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun/Foto RTM

NEGERI SEMBILAN, 22 Mei Negeri Sembilan terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan industri halal negara menerusi perancangan pembangunan kawasan baharu yang memfokuskan sektor makanan, farmaseutikal dan kosmetik halal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan kawasan baharu memfokuskan makanan, farmaseutikal, penyelidikan dan pembangunan serta produk kosmetik halal.
  • Inisiatif dijangka menarik pelabur tempatan dan antarabangsa menjadikan negeri pusat operasi industri halal berteknologi tinggi.
  • Kehadiran syarikat halal bertaraf antarabangsa menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur.
  • Penekanan pada pembangunan vaksin dan produk perubatan halal akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Inisiatif strategik itu dijangka mampu menarik lebih ramai pelabur tempatan serta antarabangsa untuk menjadikan negeri berkenaan sebagai pusat operasi industri halal berteknologi tinggi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kehadiran beberapa syarikat halal bertaraf antarabangsa di negeri itu telah memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi selain meningkatkan keyakinan pelabur.

“Kemudahan lengkap serta ekosistem halal yang kukuh menjadi antara faktor utama syarikat memilih Negeri Sembilan sebagai lokasi operasi mereka.

“Kerajaan negeri kini merancang pembangunan kawasan baharu yang bakal menempatkan pelbagai industri halal termasuk farmaseutikal, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta produk kosmetik halal.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan akan menarik lebih banyak pelabur. Kita bukan sahaja menetapkan kawasan sedia ada, tetapi juga kawasan baharu yang akan menempatkan pelbagai produk termasuk farmaseutikal, R&D dan kosmetik halal,” katanya selepas merasmikan pembukaan Kilang Mahsuri Food di Nilai, di sini hari ini.

Selain produk makanan, tumpuan turut akan diberikan kepada pembangunan vaksin halal serta produk perubatan halal bagi memperluas potensi industri berkenaan.

Kerajaan negeri optimis pembangunan ekosistem industri halal ini mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan strategik negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.