
KIEV, 18 November – Serangan Rusia ke atas pusat bandar bersejarah Odesa, di selatan Ukraine pada Rabu, mengorbankan empat orang.
- Presiden Zelensky mengecam serangan sebagai kejam kerana menyasarkan pasukan penyelamat.
- Gabenor Oleg Kiper berkata pusat bandar UNESCO disasarkan dengan tiga bedilan.
- Jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 13 orang.
- Odesa, pelabuhan penting Laut Hitam, kerap diserang termasuk infrastruktur pelabuhan dan kapal kargo.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan serangan itu kejam kerana turut menyasarkan pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian.
“Serangan tersebut membuktikan sikap sebenar Rusia terhadap usaha diplomatik,” katanya menerusi platform X.
Sementara Gabenor wilayah, Oleg Kiper berkata, serangan terbaharu itu menyasarkan pusat bandar yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan tiga bedilan.
“Jumlah keseluruhan mangsa akibat serangan pada waktu pagi itu meningkat kepada 13 orang, termasuk empat yang maut,” katanya menerusi aplikasi Telegram.
Odesa, sebuah pelabuhan penting di Laut Hitam, sering menjadi sasaran serangan Rusia sepanjang konflik Rusia-Ukraine termasuk bedilan terhadap infrastruktur pelabuhan dan kapal kargo. – AFP