
KOTA BHARU, 18 November – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Pulau Melaka, Kota Bharu, petang tadi.
- Koperal Muhamad Alimi Kamarudin, 35, maut selepas motosikal bertembung kereta di Pulau Melaka, Kota Bharu.
- Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semasa mangsa dipercayai pulang ke rumah di Bukit Marak.
- Saksi dengar dentuman kuat, nampak mangsa melambung lalu jatuh, motosikal dari arah Panji bertembung kereta putih.
- PDRM Kontinjen Kelantan menzahirkan takziah dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat serta diampunkan dosa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Koperal Muhamad Alimi Kamarudin, 35, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Marak.
Saksi kejadian, Muhammad Saiful Amir Mansur, 31, berkata, ketika kejadian dia berada di luar sebuah kedai sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya.
“Saya sedang duduk di luar kedai sebelum terdengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan. Apabila berpaling, saya nampak mangsa melambung sebelum terjatuh di atas jalan raya.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang. Motosikal itu datang dari arah Panji menuju ke Kedai Lalat sebelum bertembung dengan sebuah kereta berwarna putih dari arah bertentangan,” katanya.
Allahyarham bertugas di Cawangan Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan menerusi kenyataan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran di Facebook hari ini.