
WASHINGTON, 22 Mei – Penjualan senjata Amerika Syarikat (AS) bernilai US$14 bilion kepada Taiwan kini ditangguhkan buat sementara waktu bagi memastikan tentera AS mempunyai bekalan peluru yang mencukupi untuk operasinya di Iran.
- Pemangku Setiausaha Tentera Laut Hung Cao mengesahkan langkah diambil untuk menjamin kesiapsiagaan operasi tentera AS 'Epic Fury'.
- Beliau memberi jaminan penjualan ketenteraan asing kepada Taiwan akan disambung semula setelah pentadbiran Washington meluluskan.
- Pejabat Presiden Taiwan tidak terima maklumat rasmi tentang perubahan perjanjian; kebimbangan meningkat selepas Trump enggan buat komitmen mutlak.
Pemangku Setiausaha Tentera Laut AS, Hung Cao mengesahkan perkara itu dalam satu pendengaran kongres pada Khamis dengan menyatakan bahawa langkah berkenaan diambil demi menjamin kesiapsiagaan operasi tentera AS yang dikenali sebagai ‘Epic Fury’.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa penjualan ketenteraan asing (FMS) kepada Taiwan itu akan disambung semula sebaik sahaja pentadbiran Washington meluluskannya kelak.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Presiden Taiwan, Karen Kuo memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat rasmi yang menunjukkan AS berhasrat untuk membuat perubahan terhadap perjanjian jualan senjata berkenaan.
Isu berkenaan timbul susulan keengganan Presiden AS, Donald Trump untuk menyatakan komitmen mutlak berhubung penjualan berkenaan, yang sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tahap sokongan Washington terhadap Taipei ketika tekanan ketenteraan dari China semakin meningkat. – AFP