Iran perhalusi draf rundingan damai AS, Pakistan perhebat usaha perantara

Foto REUTERS

TEHRAN, 22 Mei– Iran kini sedang memperhalusi dan menyediakan maklum balas terhadap draf cadangan rundingan mutakhir yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menamatkan konflik yang sedang berlarutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pakistan memperhebat usaha rundingan damai untuk merapatkan jurang antara pihak yang bersengketa.
  • ISNA lapor draf AS kurangkan beberapa jurang namun keberhasilan bergantung kepada AS menghentikan sebarang "provokasi perang".
  • Jurucakap Kementerian Luar Iran menegaskan fokus Tehran menamatkan peperangan di semua barisan hadapan termasuk Lubnan, dan menolak spekulasi pengayaan nuklear.
  • Setiausaha Negara AS akui petanda positif tetapi AS berwaspada dan sedia teroka pilihan lain jika rundingan munasabah gagal.

Langkah berkenaan hadir ketika Pakistan memperhebatkan usaha rundingan damai bagi merapatkan jurang perbezaan dan perselisihan membabitkan kedua-dua belah pihak.

Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) melaporkan bahawa draf dikemukakan Washington itu dilihat berjaya mengurangkan beberapa jurang perbezaan sedia ada, namun menegaskan perkara berkenaan hanya akan dicapai sekiranya AS menghentikan sebarang “provokasi perang”.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan fokus utama Tehran ketika ini adalah untuk menamatkan peperangan di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan.

Beliau turut menolak spekulasi media antarabangsa berhubung isu pengayaan bahan nuklear dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengakui terdapat petanda positif dalam proses rundingan tersebut.

Namun, Amerika Syarikat katanya memilih untuk berwaspada tanpa meletakkan keyakinan melampau.

Beliau menyatakan Washington sedia meneroka pilihan lain sekiranya perjanjian yang munasabah gagal dicapai dalam masa terdekat.

Bagi mengukuhkan usaha damai berkenaan, Panglima Angkatan Tentera Pakistan, Field Marshal Syed Asim Munir yang bertindak sebagai mediator utama dijadualkan tiba di Tehran bagi memudah cara rundingan trilateral tersebut. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.