Israel didakwa cuba lenyapkan bandar Lubnan dalam peta

Foto REUTERS

BEIRUT, 22 Mei -Tindakan ketenteraan Israel di selatan Lubnan kini didakwa bukan lagi sekadar operasi menyasarkan kedudukan pejuang Hizbullah, sebaliknya telah beralih kepada pemusnahan terancang penempatan bandar bagi menghalang kepulangan lebih sejuta pelarian tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Data CNRS: kemusnahan besar melibatkan sekolah, hospital, infrastruktur air dan elektrik serta rumah ibadat, termasuk serangan selepas gencatan senjata.
  • Menteri Alam Sekitar Tamara Zein menuduh rejim Israel melakukan urbicide untuk memusnahkan elemen penting kehidupan penduduk.
  • Pihak berkuasa Lubnan lapor lebih 3,000 maut dan perpindahan besar, meninggalkan kesan psikologi serta kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian.

Menurut penganalisis dan data daripada Majlis Penyelidikan Saintifik Kebangsaan (CNRS) di Beirut, kemusnahan berskala besar melibatkan infrastruktur awam, sekolah, hospital, institusi bekalan air dan elektrik, serta rumah ibadat dilaporkan berlaku secara agresif, termasuk selepas penguatkuasaan gencatan senjata pada 17 April lepas.

Menteri Alam Sekitar Lubnan, Tamara Zein sebelum ini turut melemparkan tuduhan bahawa rejim Israel secara sengaja melakukan urbicide bagi menghapuskan terus elemen penting kehidupan yang diperlukan untuk penduduk membina semula penempatan mereka.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas teruk termasuk bandar Yarun dan bandar bersejarah di atas bukit, Bint Jbeil, yang mana imej satelit terbaharu menunjukkan struktur bangunan di kedua-dua kawasan berkenaan telah diratakan hampir sepenuhnya menjadi runtuhan batu.

Kemusnahan di Bint Jbeil dilaporkan turut melibatkan stadium ikonik yang menjadi mercu tanda sejarah pengunduran tentera Israel pada tahun 2000, manakala di Yarun, fasiliti awam seperti dewan gereja, biara, dan sekolah Saint George turut musnah dibongkar.

Data rasmi CNRS mendedahkan serangan ketenteraan sejak konflik memuncak telah memusnahkan lebih 290,000 unit kediaman, dengan kira-kira 12,000 unit daripadanya ranap sepenuhnya atau sebahagian sejak tempoh gencatan senjata bermula.

Pihak berkuasa Lubnan menyatakan serangan tersebut setakat ini telah mengorbankan lebih 3,000 nyawa, di samping memicu perpindahan besar-besaran penduduk yang kini berdepan kesan psikologi yang amat mendalam akibat kehilangan tempat tinggal dan punca pendapatan.

Sementara itu, pihak tentera Israel terus mempertahankan operasi mereka dengan mendakwa tindakan itu hanyalah menyasarkan kedudukan serta infrastruktur ketenteraan milik kumpulan Hezbollah bagi melindungi keselamatan komuniti mereka di sempadan utara, dan bukannya menyasarkan golongan orang awam. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.