Culas cukai jalan, 51 kenderaan mewah disita JPJ Pulau Pinang

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail/Foto RTM

PULAU PINANG,22 Mei – Sebanyak 51 buah kenderaan mewah dianggarkan bernilai kira-kira RM14 juta disita Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Pulau Pinang dalam operasi khas ‘Op Luxury’ susulan kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi sejak Jun tahun lalu mendedahkan ketirisan hasil RM174,000 dan 124 kesalahan penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga semalam.
  • Antara kenderaan dikesan termasuk BMW, Mercedes, Toyota, Jaguar, Ford Mustang, Vellfire dan Hummer.
  • BMW tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2020, Ford Mustang tamat sejak 2022 dengan LKM tertinggi sekitar RM10,900 setahun.
  • Sepanjang Jun hingga Disember tahun lalu 73 kenderaan disita, ketirisan RM88,000; JPJ akan meneruskan operasi memastikan pematuhan.

Operasi yang dijalankan di seluruh negeri sejak Jun tahun lalu itu turut mendedahkan ketirisan hasil kerajaan berjumlah RM174,000 bagi tempoh Januari hingga semalam, melibatkan 124 kesalahan yang telah diambil tindakan penguatkuasaan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, antara kenderaan yang dikesan termasuk model BMW yang tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2020, serta sebuah Ford Mustang yang telah tamat tempoh sejak 2022 dengan kadar cukai jalan mencecah hampir RM10,900 setahun.

“Siasatan mendapati kebanyakan pemilik terdiri daripada golongan kenamaan, VVIP serta ahli perniagaan yang memberikan pelbagai alasan tidak munasabah bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.

“Antara kenderaan-kenderaan yang banyak kita sita adalah BMW, Mercedes-Benz dan Toyota. Selain itu, Jaguar, Ford Mustang, Vellfire dan Hummer turut dikesan gagal memperbaharui lesen kenderaan. Ford Mustang mencatatkan kadar LKM tertinggi iaitu sekitar RM10,900 setahun,” katanya.

Dalam pada itu, rekod JPJ menunjukkan sepanjang Jun hingga Disember tahun lalu, sebanyak 73 lagi kenderaan mewah turut disita dengan jumlah ketirisan hasil kerajaan dianggarkan RM88,000.

JPJ menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi peraturan jalan raya serta tidak mengabaikan tanggungjawab membayar cukai jalan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.