JAKARTA, 14 April- Sekurang-kurangnya 15 orang telah ditemui mati dalam tragedi tanah runtuh di tengah Indonesia, semalam.
Sekurang-kurangnya 17 mangsa dikeluarkan daripada runtuhan di Tana Toraja, wilayah Sulawesi Selatan pada petang Sabtu, kata ketua agensi bencana tempatan Sulaiman Maila.
“Dua daripada mereka terselamat manakala 15 lagi malangnya meninggal dunia,” kata Maila kepada AFP pada Ahad.
“Menurut laporan penduduk, masih ada dua individu dilaporkan hilang, berkemungkinan tertimbus di bawah runtuhan tanah runtuh.”
Tana Toraja dan kawasan sekitarnya mengalami hujan lebat sejak seminggu lalu, tambahnya.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan dan masalah itu telah menjadi lebih buruk di beberapa tempat akibat daripada pembersihan hutan dan hujan lebat yang berpanjangan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara kepulauan itu.
Bulan lalu banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku di pulau Sumatera mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, beberapa mangsa juga masih hilang.
Tanah runtuh dan banjir menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera pada Disember, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang.-AFP