fb fb fb fb fb

Peningkatan pelarian Rohingya ke Indonesia disyaki berkait pemerdagangan manusia

Lebih 1,200 pelarian Rohingya telah mendarat di Indonesia sejak November/ REUTERS

JAKARTA, 8 Disember- Presiden Indonesia, Joko Widodo mengesyaki ada aktiviti penyeludupan manusia di sebalik peningkatan ketibaan etnik Rohingya di wilayahnya.

Beliau memberi komitmen untuk bekerjasama dengan kumpulan antarabangsa untuk menangani isu itu.

Lebih 1,200 etnik Rohingya iaitu warga minoriti dari Myanmar, mendarat di perairan Indonesia sejak November, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di Indonesia yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan mengenai skala penghijrahan tahun ini.

Sejak beberapa tahun lalu, warga Rohingya meredah perjalanan berbahaya dengan bot, berharap untuk sampai ke negara jiran Thailand dan Bangladesh atau lebih jauh ke Malaysia serta Indonesia, di mana kedua-duanya negara majoriti Muslim.

Mereka lazimnya belayar antara November dan April ketika musim laut lebih tenang.

Indonesia telah lama menjadi tempat selamat bagi Rohingya, tetapi jumlah ketibaan yang tinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan peningkatan sentimen negatif di media sosial.

Ini susulan penolakan daripada penduduk di Aceh, wilayah paling barat di mana kebanyakan pendaratan berlaku, kerana sikap etnik Rohingya yang besar kepala, tidak hormati budaya tempatan dan membebankan dari segi ekonomi.

"Terdapat syak wasangka yang kuat bahawa rangkaian pemerdagangan manusia terlibat dan Indonesia akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka," kata Jokowi dalam video penstriman langsung, tanpa mengulas lanjut.

Indonesia juga akan memberikan bantuan kemanusiaan sementara kepada Rohingya tetapi tetap mengutamakan penduduk tempatan, katanya.

Satu demonstrasi berlaku di pusat perlindungan Rohingya di Sabang, Aceh pada Khamis, oleh penduduk tempatan yang menggesa kerajaan segera mencari penempatan semula di tempat lain, menurut media tempatan yang menunjukkan rakaman video protes itu.

Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian 1951, namun sentiasa menerima pelarian apabila mereka tiba di negara itu, sekali gus mendapat pujian daripada UNHCR. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI