BEIRUT, 19 November – Tentera Israel pada Rabu melancarkan serangan ke atas dua bandar di selatan Lubnan selepas mengeluarkan amaran pemindahan kepada orang awam, dengan alasan ia menyasarkan infrastruktur kumpulan Hezbollah.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan dua serangan terbabit mengenai bandar Deir Kifa dan Shehur.
Kejadian berlaku sehari selepas 13 orang terbunuh dalam serangan tentera rejim Zionis ke atas sebuah kem pelarian Palestin di selatan Lubnan — serangan paling buruk sejak gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah berkuat kuasa tahun lalu.
Walaupun terdapat gencatan senjata pada November 2024 bagi menamatkan ketegangan yang berlarutan lebih setahun, termasuk dua bulan peperangan secara terbuka, Israel terus mencabuli perjanjian apabila rakus melancarkan serangan berkala ke atas Lubnan.
Melalui mesej di platform X, tentera Israel turut menyiarkan peta bangunan yang dikenal pasti dan menggesa penduduk berpindah segera, 'kononnya' Hezbollah cuba membangunkan semula aktivitinya di kawasan tersebut.
Amaran serupa kemudian dikeluarkan untuk dua lagi bandar di selatan Lubnan.
Awal Rabu, Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan seorang terbunuh dan 11 cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah kenderaan di Tiri.
NNA melaporkan mangsa yang terbunuh adalah kakitangan majlis tempatan, dan serangan berlaku ketika sebuah bas universiti membawa 26 pelajar melintasi kawasan itu, menyebabkan beberapa pelajar turut cedera.- AFP