JAKARTA, 19 November - Gunung Semeru, gunung tertinggi di pulau Jawa, Indonesia, meletus pada Rabu, sekali gus meningkatkan status amaran kepada tahap tertinggi.
Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), letusan itu yang bermula sekitar 4 petang (0900 GMT), menghamburkan abu yang menjulang kira-kira 2,000 meter ke udara dan mencapai ketinggian sekitar 5,676 meter dari paras laut.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan berhampiran diberi amaran agar menjauhi radius 2.5 kilometer daripada gunung berapi berkenaan.
“Aliran piroklastik masih berlaku, dengan jarak aliran mencapai tujuh kilometer dari puncak, dan letusan masih berterusan ketika laporan ini disediakan,” kata Mukdas Sofian, seorang pegawai di pos pemantauan gunung berapi Indonesia.
Dengan ketinggian lebih 3,600 meter, Semeru merupakan antara hampir 130 gunung berapi aktif di Indonesia, yang terletak dalam 'Lingkaran Api Pasifik', dan sering mengalami letusan gunung berapi dan gempa bumi.- REUTERS