NEW YORK, 9 Disember- Amerika Syarikat memveto cadangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut pelaksanaan bantuan kemanusian segera dan gencatan senjata susulan konflik di Gaza.
13 ahli majlis menyokong draf resolusi dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE). Britain pula mengambil sikap untuk berkecuali.
Undian tersebut dilakukan selepas Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Rabu memberi amaran kepada 15 anggota majlis berkenaan tentang ancaman global akibat konflik yang telah berlarutan selama dua bulan itu.
Sementara itu, AS dan Israel membantah cadangan gencatan senjata kerana percaya tindakan berkenaan dilihat menguntungkan pejuang Hamas.
Sebaliknya, Washington lebih menyokong pemberhentian sementara perang dengan alasan melindungi orang awam dan pembebasan tahanan yang ditahan Hamas mampu diteruskan.
Duta AS ke PBB, Robert Wood memberitahu majlis, resolusi berkenaan dilihat sebagai terburu-buru dan tidak memberi sebarang erti bagi menyelesaikan konflik.
"kami tidak menyokong resolusi berkenaan yang menggesa gencatan senjata kerana ia hanya akan membenihkan peperangan yang lain", kata Wood.-REUTERS