fb fb fb fb fb

IAEA ulangi desakan agar Iran buka akses segera ke tapak nuklear utama

Foto AFP

VIENNA, 19 November – Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Mariano Grossi pada Rabu sekali lagi mendesak Iran supaya membenarkan pemeriksa antarabangsa memasuki beberapa tapak nuklear utama yang diserang Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada Jun lalu.

Hubungan antara Iran dan IAEA terus tegang dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan semakin meruncing selepas perang 12 hari pada Jun, yang menyaksikan serangan Israel dan AS ke atas fasiliti nuklear penting Iran.

Sejak konflik itu, pemeriksa IAEA tidak diberi akses ke tapak kemudahan nuklear seperti Fordo dan Natanz yang terjejas akibat serangan, namun dibenarkan melawat tapak lain.

“Kami telah melakukan beberapa pemeriksaan, namun masih belum dapat memasuki tapak yang diserang. Oleh demikian saya berharap dapat segera berbuat demikian, seterusnya bergerak secara konstruktif,” kata Grossi, selepas merasmikan mesyuarat Lembaga Pengarah IAEA yang berpangkalan di sini.

Draf resolusi yang dikemukakan Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat kepada lembaga itu menggesa Iran “memberi kerjasama penuh” kepada IAEA.

Resolusi yang dijangka diundi pada minggu ini, turut menegaskan bahawa amat penting untuk Iran mematuhi kewajipan di bawah perjanjian anti-pengeluaran nuklear.

Draf tersebut turut menuntut agar Tehran menyediakan akses yang diminta pihak agensi.

Sementara itu pegawai Iran memberi amaran terhadap sebarang resolusi anti-Iran, dengan Timbalan Menteri Luar, Kazem Gharibabadi, menegaskan pada Ahad bahawa langkah berkenaan boleh memaksa Tehran menilai semula secara dasar hubungannya dengan IAEA.

Bagaimanapun Grossi sebaliknya menegaskan, adalah tidak logik jika resolusi tersebut mengakibatkan tahap kerjasama Iran menjadi lebih rendah.

Minggu lalu, IAEA mendesak Iran supaya membenarkan agensi itu mengesahkan stok uranium diperkaya yang masih belum dapat diperiksa sejak sekian lama.

Laporan terbaharu IAEA menyatakan bahawa Iran memiliki lebih daripada 408 kilogram uranium diperkaya sehingga tahap 60 peratus, satu jumlah yang dilihat sebagai sangat membimbangkan dari segi keselamatan nuklear antarabangsa kerana tahap tersebut menghampiri paras yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP