KUALA LUMPUR, 29 Disember – ASEAN menyambut baik hasil Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee – GBC) Khas Ketiga antara Kemboja dan Thailand yang berlangsung pada Sabtu lepas sebagai langkah penting ke arah meredakan konflik serta memulihkan keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menyambut baik kenyataan bersama GBC yang diadakan di Pintu Masuk Antarabangsa Prum, Wilayah Pailin, Kemboja – Ban Pak Kard, Wilayah Chanthaburi, Thailand.
ASEAN turut menyambut baik persetujuan kedua-dua pihak terhadap dua set langkah utama, iaitu langkah meredakan konflik, serta mekanisme pelaksanaan dan pengesahan bagi memastikan keberkesanan langkah-langkah tersebut seperti yang digariskan dalam Kenyataan Bersama GBC Khas Ketiga.
Selain itu, ASEAN mengalu-alukan komitmen Kemboja dan Thailand untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta yang berkuat kuasa pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan, Sabtu lepas melibatkan semua jenis senjata.
“Gencatan senjata ini merangkumi larangan terhadap sebarang serangan ke atas orang awam, objek dan infrastruktur awam, serta sasaran ketenteraan di semua kawasan dan dalam semua keadaan,” menurut kenyataan itu.
ASEAN turut menegaskan kepentingan peranan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team – AOT) dan mengalu-alukan persetujuan kedua-dua pihak untuk memperkukuh peranan pasukan tersebut.
Kenyataan itu mengimbas kembali persetujuan gencatan senjata pada 28 Julai 2025, hasil mesyuarat GBC serta Deklarasi Bersama Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025, sambil menyambut baik komitmen kedua-dua pihak untuk membina keyakinan dan memulihkan keamanan berkekalan di sepanjang sempadan.
Dalam pada itu, ASEAN menegaskan semula komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN, selain mengekalkan Peranan Pusat ASEAN (ASEAN Centrality) dalam memastikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
“Kami mengulangi komitmen bersama untuk menahan diri daripada penggunaan kekerasan dan menyelesaikan sebarang pertikaian melalui cara aman, selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC),” menurut kenyataan itu lagi.
ASEAN turut menyatakan kesediaan untuk terus menyokong usaha yang sedang dijalankan, termasuk melalui peranan Pengerusi ASEAN, serta sumbangan Negara-Negara Anggota ASEAN lain dan rakan luar, bagi memudah cara pelaksanaan berkesan langkah-langkah yang dipersetujui.
Usaha berterusan itu dilihat penting bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah keamanan dan kestabilan jangka panjang, selain memperkukuh hubungan baik antara Kemboja dan Thailand.