fb fb fb fb fb

Bank pusat Syria lancar garis panduan mata wang baharu

Foto REUTERS

DAMASKUS, 29 Disember – Bank pusat Syria pada Ahad mengeluarkan garis panduan terperinci bagi pelancaran mata wang kebangsaan baharu, mengesahkan rancangan untuk mengurangkan dua angka daripada nilai pound Syria sebagai sebahagian daripada reformasi monetari besar-besaran yang dijadualkan pada 2026.

Gabenor Bank Pusat, Abdulkader Husrieh berkata di bawah reformasi itu, setiap 100 pound lama akan ditukar kepada satu pound baharu.

Proses penukaran akan bermula pada 1 Januari 2026 dan berlangsung selama 90 hari, dengan kemungkinan dilanjutkan jika perlu.

Kedua-dua wang kertas lama dan baharu akan digunakan semasa tempoh peralihan, dan peniaga dikehendaki menerima kedua-duanya.

Husrieh menekankan penukaran mata wang akan dijalankan secara percuma, tanpa sebarang komisen, caj atau cukai dikenakan dalam apa jua keadaan.

Beliau menjelaskan langkah itu merupakan penggantian mata wang secara terus dan tidak akan meningkatkan jumlah keseluruhan bekalan wang, serta disifatkan sebagai usaha penting untuk mengekalkan kestabilan harga semasa tempoh peralihan.

Bermula 1 Januari 2026, semua baki akaun bank dan akaun elektronik di Syria akan dinyatakan dalam pound Syria baharu.

Tambah Husrieh mata wang baharu itu adalah sebahagian daripada pakej reformasi monetari yang lebih luas, bertujuan memperbaiki pengedaran tunai, mempermudah transaksi harian, dan mengukuhkan kestabilan kewangan selepas bertahun-tahun tekanan ekonomi.

Wang kertas baharu turut menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi mengelak pemalsuan serta menonjolkan budaya, sejarah, dan ciri geografi Syria. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN