fb fb fb fb fb

FIFA pertahankan harga tiket Piala Dunia, tumpu hasil untuk bola sepak global

Presiden FIFA, Gianni Infantino/Foto REUTERS

DUBAI, 29 Disember – Presiden FIFA, Gianni Infantino mempertahankan harga tiket bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, dengan menekankan permintaan yang tinggi serta hasil pendapatan yang dijana untuk pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

Awal bulan ini, beberapa kumpulan peminat mengkritik harga tiket yang selalunya beberapa kali ganda lebih mahal berbanding perlawanan setara dalam edisi 2022.

FIFA kemudian melancarkan kategori tiket berharga 60 dolar bagi menjadikan kejohanan lebih mampu milik untuk peminat pasukan yang layak.

“Kami mempunyai enam hingga tujuh juta tiket dijual… dalam masa 15 hari, kami menerima 150 juta permintaan tiket. Jadi, 10 juta permintaan tiket setiap hari. Ini menunjukkan betapa berpengaruhnya Piala Dunia,” kata Infantino ketika menghadiri World Sports Summit di Dubai.

Tambah beliau, “Dalam hampir 100 tahun sejarah Piala Dunia, FIFA telah menjual sebanyak 44 juta tiket secara keseluruhan. Jadi, dalam dua minggu… kita boleh mengisi 300 tahun Piala Dunia. Bayangkan itu. Ini benar-benar luar biasa.”

Menurut Infantino, peminat dari Amerika Syarikat mencatatkan bilangan permintaan tiket tertinggi, diikuti oleh Jerman dan United Kingdom.

“Yang paling penting ialah hasil pendapatan daripada ini disalurkan semula untuk membangunkan bola sepak di seluruh dunia.

"Tanpa FIFA, tidak akan ada bola sepak di 150 negara di dunia. Bola sepak wujud kerana, dan terima kasih kepada, hasil pendapatan yang kami jana daripada Piala Dunia yang kami laburkan semula di seluruh dunia,” tambah beliau. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN