fb fb fb fb fb

Trump janji sokongan penuh kepada Eropah dalam menjamin keselamatan Ukraine

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kanan) berjabat tangan bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (kiri) pada pertemuan di Florida/Foto REUTERS

WASHINGTON, 29 Disember – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berikrar untuk memberikan sokongan penuh kepada Eropah berhubung aspek keselamatan Ukraine susulan pertemuannya dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Florida.

Susulan pertemuan berkenaan, Trump mengadakan perbincangan lanjut dengan pemimpin Britain, Jerman, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Kesatuan Eropah, yang disifatkannya sebagai sangat produktif, selain menekankan kepentingan kerjasama transatlantik yang erat.

Menurut Trump, Eropah dijangka memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan Ukraine, selaras dengan usaha bersama bagi mengekalkan kestabilan serantau.

Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan tambahan di Washington D.C. bersama pemimpin Eropah dan pegawai Ukraine berkemungkinan diadakan bagi menyelaras usaha secara lebih menyeluruh.

Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menegaskan komitmen Eropah untuk bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan Ukraine dalam memperkukuh kemajuan yang dicapai melalui rundingan berkenaan.

Beliau berkata, perbincangan tersebut telah mengekalkan jaminan keselamatan yang kukuh dan boleh dipercayai sepanjang proses rundingan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata hasil perbincangan terkini telah menyumbang kepada kemajuan dalam usaha memperkukuh jaminan keselamatan bagi Ukraine.

Macron menegaskan langkah itu penting ke arah mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di Ukraine.

Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat “Coalition of the Willing” akan diadakan di Paris pada awal Januari 2026 bagi menentukan sumbangan setiap negara dalam usaha menjamin keselamatan Ukraine. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN