fb fb fb fb fb

Liga Arab kecam pengiktirafan Israel terhadap Somaliland

Foto AFP

KAHERAH, 29 Disember – Liga Arab mengecam keras tindakan Israel mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka serta menegaskan sokongan penuh terhadap kedaulatan, perpaduan dan keutuhan wilayah Somalia.

Atas permintaan kerajaan Somalia, Majlis Liga Arab mengadakan mesyuarat tergempar pada Ahad bagi membincangkan pengiktirafan Israel terhadap Somaliland, wilayah Somalia yang mengisytiharkan kemerdekaan sendiri, sebelum mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Menurut kenyataan berkenaan, Somaliland merupakan sebahagian tidak terpisah daripada Somalia, manakala pengiktirafan Israel disifatkan sebagai tidak sah, menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima, selain merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu turut menyatakan tindakan Israel berkenaan merupakan campur tangan terbuka dalam hal ehwal dalaman Somalia, sekali gus menjejaskan kedaulatan dan keutuhan wilayah negara tersebut, mengancam keamanan serta keselamatan serantau, dan memburukkan lagi ketegangan di Tanduk Afrika, Laut Merah serta Teluk Aden.

Liga Arab menegaskan sokongan penuhnya terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia, selain menyokong hak negara itu untuk mengambil segala langkah yang perlu dalam kerangka Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani pelanggaran berkenaan.

Majlis Liga Arab juga dengan tegas menolak sebarang tindakan susulan yang berpunca daripada pengiktirafan tidak sah itu, termasuk usaha memudahkan pemindahan paksa rakyat Palestin dari tanah mereka, serta sebarang percubaan untuk merampas pelabuhan di utara Somalia secara menyalahi undang-undang bagi tujuan penubuhan pangkalan tentera.

Dalam pada itu, Majlis Liga Arab menggesa PBB meluluskan resolusi berkaitan yang menegaskan perpaduan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia, serta mengisytiharkan pengiktirafan Israel terhadap Somaliland sebagai tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Menteri Luar Sudan Selatan, Monday Semaya Kumba, dalam satu perbualan telefon dengan Menteri Luar Somalia, Abdisalam Abdi Ali, pada Sabtu, menegaskan negaranya tidak mengiktiraf Somaliland dan terus menyokong kedaulatan, perpaduan serta keutuhan wilayah Somalia.

Kedua-dua pihak turut menyuarakan penentangan tegas terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keutuhan wilayah Somalia, menurut laporan media tempatan pada Ahad.

Somaliland mengisytiharkan “kemerdekaan” daripada Somalia pada 1990-an, namun sehingga kini tidak pernah menerima pengiktirafan daripada komuniti antarabangsa.

Pada Jumaat lalu, Israel secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah “negara merdeka”, sekali gus menjadikannya satu-satunya negara di dunia yang berbuat demikian, tindakan yang mencetuskan kecaman keras daripada Somalia serta komuniti antarabangsa.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu dijadual mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu pengiktirafan Israel terhadap Somaliland. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN