VIENNA, 29 Disember – Pembaikan talian kuasa telah dimulakan berhampiran Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) susulan gencatan senjata setempat yang diatur oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
IAEA menerusi kenyataan di platform media sosial X memaklumkan, gencatan senjata sementara itu dipersetujui oleh Rusia dan Ukraine bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan penghantaran kuasa dilaksanakan dengan selamat.
Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak dan menyifatkan persetujuan tersebut sebagai satu “ruang senyap” yang penting bagi memulihkan penghantaran tenaga antara kawasan suis ZNPP dan Loji Janakuasa Terma Zaporizhzhia.
Menurut beliau, usaha berkenaan dijangka dapat memperkukuh tahap keselamatan nuklear di tapak tersebut, khususnya dalam keadaan konflik ketenteraan yang masih berterusan.
IAEA turut memaklumkan pasukannya berada di lokasi bagi memantau secara dekat kerja-kerja pembaikan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengelakkan sebarang risiko kemalangan nuklear.
Agensi itu menjangkakan proses pembaikan akan mengambil masa beberapa hari.
Pada 15 Disember lalu, penghantaran kuasa antara kawasan suis ZNPP dan kawasan suis Loji Janakuasa Terma Zaporizhzhia melalui autotransformer dilaporkan tidak lagi berfungsi, sekali gus menjejaskan fleksibiliti serta daya tahan konfigurasi elektrik loji berkenaan.
Siasatan yang dijalankan oleh pihak ZNPP mendapati kerosakan berlaku pada talian penghantaran antara autotransformer dan kawasan suis loji janakuasa terma, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti ketenteraan.
Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia, yang merupakan antara kemudahan nuklear terbesar di Eropah, berada di bawah kawalan Rusia sejak Mac 2022. -REUTERS