KAHERAH, 19 November – Petugas kemanusiaan di wilayah Darfur, Sudan, terpaksa 'memilih siapa yang harus diselamatkan' ekoran kekurangan sumber sehingga perlu membuat keputusan sukar.
“Kami terpaksa memilih siapa yang boleh diselamatkan dan siapa yang terpaksa ditinggalkan. Dan ini adalah dilema yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan sepenuhnya dengan nilai kami,” kata Ketua Logistik kumpulan bantuan Handicap International, Jerome Bertrand selepas kembali dari misi penilaian bantuan selama tiga minggu.
Jelas Bertrand, keutamaan pihaknya kini terarah kepada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang masih menyusukan anak, dengan harapan yang lain masih dapat bertahan sementara menantikan bantuan tambahan.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), konflik di Sudan yang bermula April 2023 menyebabkan puluhan ribu kematian dan hampir 12 juta orang kehilangan tempat tinggal, menjadikannya krisis perpindahan dan kebuluran terbesar di dunia.
Situasi di Darfur semakin meruncing sejak tentera RSF merampas ibu negeri North Darfur, El-Fasher, pada 26 Oktober lalu, menyaksikan petugas bantuan seperti Bertrand kini bergelut menampung keperluan yang amat besar di sebalik keadaan infrastruktur yang lumpuh.- AFP