fb fb fb fb fb

19 maut dalam serangan dron, peluru berpandu di Ukraine

Foto AFP

KIEV, 19 November - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan oleh Rusia ke atas bandar Ternopil di barat Ukraine.

Kenyataan rasmi pihak berkuasa pada Rabu mengesahkan seramai 66 lagi cedera, termasuk 16 kanak-kanak.

Kementerian Dalam Negeri Ukraine menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan, pasukan penyelamat dan perubatan tempatan masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi yang terjejas, termasuk bangunan yang runtuh dan kawasan perumahan yang terbakar.

Serangan gabungan berskala besar itu menyasarkan kawasan kediaman dan infrastruktur awam, menyebabkan kemusnahan meluas dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk di wilayah yang sebelum ini dianggap lebih selamat berbanding zon konflik di timur.

Ternopil, yang terletak jauh dari barisan hadapan utama di timur dan selatan Ukraine, sebelum ini menjadi tempat perlindungan bagi ribuan pelarian dalaman.

Namun, serangan terbaharu ini menandakan peluasan zon serangan Rusia dan meningkatkan risiko kepada kawasan yang sebelum ini dianggap selamat.

Pihak berkuasa Ukraine mengutuk serangan tersebut sebagai tindakan kejam terhadap orang awam, dan menyeru sokongan antarabangsa yang lebih kukuh untuk memperkasa sistem pertahanan udara negara.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP