BRUSSELS, 19 November – Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk melatih sehingga 3,000 pegawai polis Palestin di Semenanjung Gaza di bawah program serupa dengan misi latihan yang sedang dijalankan di Tebing Barat.
“Jika gencatan senjata semasa berterusan, terdapat keperluan untuk menstabilkan Gaza dengan pasukan polis yang berperanan penting,” menurut seorang pegawai EU pada Rabu.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin meluluskan resolusi yang digubal oleh Amerika Syarikat bagi menyokong pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh Presiden, Donald Trump, termasuk penempatan pasukan antarabangsa dan laluan ke arah pembentukan negara Palestin pada masa depan.
Pelan keamanan itu juga membenarkan penubuhan pasukan antarabangsa yang akan bekerjasama dengan Israel, Mesir, dan pegawai polis Palestin yang baharu dilatih bagi mengawal sempadan serta mendemilitarisasi Gaza.
EU sebelum ini sukar memainkan peranan semasa serangan berterusan negara haram Israel di Gaza sejak Oktober 2023 akibat perpecahan dalam blok itu, antara negara yang menyokong Israel dengan pihak yang mempunyai hubungan lebih erat dengan Palestin.
Sehubungan itu EU bercadang melatih pegawai polis Palestin yang tidak berafiliasi atau yang ada kaitan dengan Hamas, sebagai langkah mengekalkan keamanan jangka panjang.
Sejak tahun 2006, EU telah membiayai misi latihan polis di Tebing Barat dengan kos kira-kira 13 juta euro (AS$15 juta).
Cadangan latihan ini akan dibincangkan oleh menteri luar EU semasa Persidangan Kumpulan Penderma Palestin yang dijadualkan berlangsung pada 20 November di Brussels.
Persidangan bertujuan menilai kemajuan reformasi oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang merupakan syarat EU untuk meneruskan bantuan kewangan dan memastikan PA dapat memainkan peranannya dalam penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.- AFP