GUJARAT, 19 November – Saham pengeksport makanan laut India melonjak sehingga 11 peratus pada Rabu susulan laporan media bahawa China telah memaklumkan Jepun mengenai rancangan untuk menggantung import makanan laut dari negara itu, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada pembekal alternatif seperti India.
Langkah itu berpotensi mengalihkan permintaan global kepada ekosistem pengeksport India, yang ketika ini sedang bergelut akibat tarif tinggi dikenakan Amerika Syarikat, iaitu pasaran terbesar negara tersebut, merangkumi rangkaian peruncit utama seperti Walmart dan Kroger.
Tahun lalu, eksport makanan laut India ke pasaran global mencecah AS$7.4 bilion, dengan udang menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan nilai eksport.
Menurut penganalisis penyelidikan ekuiti Geojit Financial Services, Vincent K. Andrews, tekanan tarif Amerika Syarikat mendorong syarikat-syarikat India untuk mempelbagaikan destinasi eksport mereka.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pembukaan pasaran baharu merupakan perkembangan yang amat positif terhadap sektor berkenaan.
Saham Avanti Feeds, pengeluar udang terkemuka, melonjak 11 peratus, prestasi harian terbaik dalam tempoh lebih dua bulan, menjadikannya peneraju kenaikan pasaran pada sesi dagangan tersebut.
Coastal Corporation yang menyatakan hasrat untuk meningkatkan eksport ke China pada April lalu, turut mengukuh sebanyak lima peratus, kenaikan tertinggi sejak 24 Oktober.- REUTERS