TOKYO, 19 November – Jepun dijangka meluluskan pengaktifan semula loji nuklear terbesar dunia, Kashiwazaki-Kariwa pada minggu ini, sekali gus menandakan langkah penting negara itu dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil import, lapor media tempatan.
Selepas tragedi Fukushima 2011, Jepun menghentikan semua operasi nuklear, namun kerajaan kini kembali bergantung kepada tenaga atom sebagai sumber tenaga yang stabil menuju sasaran neutral karbon 2050.
Menurut agensi berita Kyodo dan akhbar Nikkei, Gabenor wilayah Niigata, Hideyo Hanazumi, dijangka mengumumkan keputusan rasmi itu pada Jumaat, yang melibatkan hanya satu daripada tujuh reaktor di kompleks berkenaan.
Sejak pelaksanaan piawaian keselamatan baharu, 14 reaktor di seluruh Jepun telah kembali beroperasi, kebanyakannya di wilayah barat dan selatan.
Jika diluluskan, ia akan menjadi penyambungan operasi pertama bagi Tokyo Electric Power Company (Tepco) sejak bencana Fukushima, sekali gus memberi isyarat penting terhadap hala tuju tenaga negara itu.
Pada masa sama, kerja penyahaktifan loji Fukushima kekal sebagai cabaran besar menyaksikan paras radiasi yang tinggi memerlukan penggunaan robot kawalan jauh bagi mengenal pasti serta mengeluarkan sisa radioaktif, iaitu satu proses yang dijangka mengambil masa beberapa dekad.
Pada Julai lalu, Kansai Electric turut memulakan langkah awal membina reaktor baharu pertama di Jepun sejak insiden 2011, menandakan peningkatan keyakinan terhadap teknologi nuklear selepas lebih sedekad penangguhan.- AFP