BIREUEN, 18 November- Kira-kira 250 pelarian Rohingya dilapor tiba di perairan Aceh, Indonesia dengan menaiki bot kayu uzur dan sesak pada Khamis lalu.
Ia menjadikan angka minoriti Myanmar itu kepada sekurang-kurangnya 600 orang yang tiba di wilayah tersebut bagi minggu ini sahaja.
Dilaporkan, ada antara mereka cuba mendekati kawasan kampung, namun berlari semula ke arah pantai selepas penduduk enggan membenarkan pelarian mendarat.
Pelarian memberitahu, mereka telah belayar dari Cox's Bazar di Bangladesh dan keletihan selepas berada di laut selama hampir tiga minggu.
Sementara Ketua Kampung Pulo Pineung Meunasah, Mukhtaruddin berkata, penduduk telah menghantar makanan ke bot dengan harapan mereka melanjutkan perjalanan ke destinasi lain.
Bagaimanapun, pelarian tersebut enggan beredar dari kawasan pantai Aceh.
"Sekurang-kurangnya satu atau dua lagi bot masih berada di laut dalam perjalanan ke Indonesia. Sekarang ini adalah permulaan musim pelayaran," kata Chris Lewa, Pengarah Pertubuhan Hak Rohingya, Arakan Project.
Rabu lalu, sebuah bot dengan muatan 147 pelarian Rohingya tiba di wilayah Pidie di Aceh, sehari selepas 196 orang mendarat di wilayah sama.
Bangladesh terutama Cox's Bazar adalah rumah kepada sekurang-kurangnya 960,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada tindakan keras oleh tentera Myanmar pada 2017. -AFP