
NEW YORK, 29 April – Aliran trafik maritim di laluan Selat Hormuz merosot sebanyak 95.3 peratus sejak akhir Februari, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
- Pergerakan kapal melalui Selat Hormuz hampir terhenti, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan tenaga dan kestabilan rantaian bekalan global.
- PBB memetik data UNCTAD yang dikongsikan melalui platform penjejakan dalam talian untuk memantau aliran perkapalan secara masa nyata.
- Kemerosotan menyumbang kepada kenaikan harga makanan asas kira-kira 6% dan lonjakan minyak mentah Eropah sekitar 53%.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, penurunan itu berdasarkan data Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD).
“Data itu dikongsikan menerusi platform penjejakan dalam talian yang dibangunkan UNCTAD untuk memantau aliran perkapalan global secara masa nyata,” katanya.
Menurut beliau, data dari 28 Februari hingga kini menunjukkan pergerakan kapal melalui laluan strategik itu hampir terhenti sepenuhnya, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan tenaga dan kestabilan rantaian bekalan global.
Kemerosotan mendadak itu turut memberi kesan kepada pasaran komoditi dunia, dengan harga makanan asas meningkat sekitar enam peratus dalam tempoh sama.
Pada masa sama, penanda aras minyak mentah Eropah melonjak sebanyak 53 peratus, mencerminkan tekanan terhadap bekalan tenaga global.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan terhadap impak berterusan gangguan laluan perdagangan utama dunia susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat. – REUTERS