PBB tubuh pasukan khas isu Selat Hormuz

PBB tubuh pasukan khas tangani isu Selat Hormuz. Foto REUTERS

TEHRAN, 28 Mac – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan sudah menubuhkan sebuah pasukan bertindak berkaitan sekatan di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mencipta mekanisme baharu bagi Selat Hormuz untuk memudahkan perdagangan baja dan aliran bahan mentah utama lain.
  • Dipimpin bersama oleh Jorge Moreira da Silva dan Pengarah Eksekutif Pejabat PBB untuk Perkhidmatan Projek.
  • PBB memberi amaran bahawa konflik Asia Barat boleh menjejaskan bekalan makanan dan memburukkan krisis kemanusiaan global.
  • Gangguan penghantaran baja dan lonjakan kos tenaga mengancam peningkatan harga makanan; 10 juta orang berisiko kelaparan akut.

Pasukan tersebut bertanggungjawab mencipta mekanisme baharu untuk selat berkenaan bagi memudahkan perdagangan baja dan aliran bahan mentah utama lain.

Pasukan tersebut diterajui bersama Penolong Setiausaha PBB, Jorge Moreira da Silva dan Pengarah Eksekutif Pejabat PBB untuk Perkhidmatan Projek.

Dalam masa sama, PBB memberi amaran mengenai risiko konflik Asia Barat terhadap kekurangan bekalan makanan dan krisis kemanusian global yang semakin meningkat.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, tindakan segera penting untuk mengurangkan kesan berkenaan.

Beliau berkata, pasukan petugas yang dirancang itu akan mengambil inspirasi daripada inisiatif PBB yang lain, termasuk Inisiatif Bijirin Laut Hitam untuk Ukraine dan Mekanisme UN2720 untuk Gaza.

“Pasukan petugas itu akan berhubung dengan semua negara anggota untuk meninjau bagaimana ia boleh dilaksanakan.

“Kami berharap semua negara anggota yang terlibat akan menyokong inisiatif ini, terutamanya demi rakyat yang sudah terjejas,” katanya.

Gangguan pada penghantaran baja dan kos tenaga yang melonjak menghadirkan ancaman terhadap peningkatan harga makanan segar di negara-negara yang bergantung dengannya.

Minggu lalu, Program Makanan Sedunia PBB memberi amaran, 10 juta orang berisiko menghadapi kelaparan akut jika perang berterusan sehingga ke Jun ini. – REUTERS