Operasi penerbangan di India hampir lumpuh akibat peningkatan kos bahan api

Operasi penerbangan Air India antara yang terjejas akibat peningkatan kos bahan api. /REUTERS

ISTANBUL, 29 April – Persekutuan Syarikat Penerbangan India yang mewakili Air India, IndiGo dan SpiceJet memberi amaran bahawa industri penerbangan negara itu hampir lumpuh berikutan peningkatan kos susulan ketegangan di Asia Barat dan gangguan berhampiran Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi memetik Press Trust of India pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan penangguhan sementara duti eksais 11% ke atas bahan api turbin penerbangan dan mekanisme harga bahan api seragam untuk operasi domestik dan antarabangsa.
  • ATF menyumbang kira-kira 40 peratus daripada kos operasi syarikat penerbangan.
  • Kerajaan mengehadkan kenaikan harga ATF bulan lalu: tambahan 15 rupee seliter domestik, 73 rupee seliter antarabangsa.
  • Persekutuan amaran kenaikan tidak munasabah atau harga berbeza boleh sebabkan kerugian besar, pesawat tidak dapat beroperasi dan pembatalan penerbangan.

Syarikat penerbangan berkenaan memohon penangguhan sementara duti eksais 11 peratus ke atas bahan api turbin penerbangan (ATF), selain mekanisme harga bahan api yang seragam bagi operasi domestik dan antarabangsa.

ATF merangkumi kira-kira 40 peratus daripada kos operasi syarikat penerbangan.

Bulan lepas, kerajaan mengehadkan kenaikan harga ATF kepada 15 rupee India (US$0.16) seliter bagi penerbangan domestik, manakala harga bagi penerbangan antarabangsa meningkat sebanyak 73 rupee India (US$0.77) seliter.

“Sebarang penetapan harga secara tambahan antara operasi domestik dan antarabangsa serta kenaikan harga ATF yang tidak munasabah akan menyebabkan syarikat penerbangan menanggung kerugian besar yang sukar diatasi, sekali gus membawa kepada pesawat tidak dapat beroperasi dan pembatalan penerbangan.

“Bagi memastikan kelangsungan, daya tahan dan kesinambungan operasi, kami memohon campur tangan segera pihak tuan untuk menyediakan sokongan kewangan yang segera dan bermakna bagi mengharungi situasi semasa,” menurut persekutuan itu dalam surat bertarikh 26 April kepada Kementerian Penerbangan Awam.

Syarikat penerbangan itu berkata keadaan berkenaan menyebabkan operasi antarabangsa dan domestik sebahagian besarnya tidak lagi berdaya maju, sekali gus mengakibatkan kerugian besar kepada sektor penerbangan pada April. – BERNAMA-ANADOLU