Eropah berdepan musim panas mencabar akibat kekurangan bahan api

Pesuruhjaya Tenaga Kesatuan Eropah, Dan Jorgensen/ REUTERS

MADRID, 21 April – Musim panas yang bakal tiba dijangka menjadi tempoh mencabar bagi Eropah berikutan kekurangan bekalan bahan api akibat peperangan di Iran dan penutupan Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Risiko keselamatan bekalan bahan api jet dan potensi menjejaskan bekalan diesel walaupun dalam keadaan terbaik.
  • Syarikat penerbangan mula mengurangkan permintaan dengan menutup beberapa laluan penerbangan.
  • Kekurangan bahan api jet dijangka berlaku dalam beberapa minggu, menurut amaran syarikat penerbangan.
  • Kira-kira 75 peratus bekalan bahan api jet Eropah diperoleh dari Asia Barat, menunjukkan kebergantungan tinggi.

Pesuruhjaya Tenaga Kesatuan Eropah, Dan Jorgensen berkata, situasi itu akan memberi tekanan besar kepada rantau tersebut walaupun dalam keadaan terbaik.

“Walaupun dalam keadaan terbaik, kita berkemungkinan berdepan isu keselamatan bekalan bahan api jet, malah berpotensi menjejaskan bekalan diesel. Buat masa ini, keadaan itu belum berlaku, namun risikonya tetap ada.

“Kita juga telah melihat syarikat penerbangan mula mengurangkan permintaan dengan menutup beberapa laluan penerbangan, satu perkembangan yang kurang baik.

“Dalam keadaan paling buruk, ia sukar untuk ditentukan. Namun, jika situasi ini berlarutan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dunia mungkin berdepan perubahan besar dengan kesan ekonomi yang sangat serius, melangkaui sektor tenaga”, katanya kepada pemberita di Madrid.

Beliau berkata Kesatuan Eropah (EU) sedang menyediakan langkah-langkah bagi mengurangkan kesan konflik berkenaan terhadap bekalan bahan api jet.

“Sudah tentu, kami membuat perancangan berdasarkan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku. Namun, secara jujur, walaupun dalam keadaan terbaik, situasi ini masih tidak begitu memberangsangkan.

Syarikat penerbangan Eropah turut memberi amaran bahawa kekurangan bahan api jet dijangka berlaku dalam tempoh beberapa minggu susulan perang di Iran yang telah menyekat laluan bekalan utama melalui Selat Hormuz.

Kira-kira 75 peratus bekalan bahan api jet di Eropah diperoleh dari Asia Barat.-REUTERS