
ULASAN BERITA
- Penguatkuasaan kukuh melindungi keselamatan rakyat daripada ancaman kartel dan jenayah rentas sempadan.
- Rampasan besar dadah dan tindakan berterusan pihak berkuasa menunjukkan Malaysia bukan laluan mudah sindiket.
- Rasuah dalam pasukan penguatkuasa melemahkan keselamatan; integriti mesti diperkukuh tanpa kompromi.
- Kerjasama awam, risikan berterusan, dan perlindungan pemberi maklumat penting untuk menumpaskan kartel.
Apabila kita bercakap tentang penguatkuasaan, kita sebenarnya bercakap tentang hak 34 juta rakyat Malaysia untuk hidup dengan selamat.
Selamat daripada ancaman dadah, kebocoran maklumat. Selamat daripada pengkhianatan dalam agensi dan rasuah yang menggelapkan mata.
Tanggungjawab pertama sesebuah kerajaan adalah melindungi rakyatnya daripada ancaman pelbagai kes jenayah.
Pertahanan sebenar negara bukan sekadar kawalan sempadan atau kehadiran pasukan bersenjata. Bentengnya ialah penguatkuasaan yang telus dan berintegriti.
Apa yang kita saksikan hari ini bukan kes terpencil. Ini rentetan beberapa siri tangkapan membabitkan jenayah terancang apabila sindiket dan kartel ditumpaskan satu demi satu hasil tindakan berterusan pihak berkuasa.
Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar dalam sejarah Sabah melalui rampasan lebih 3 tan dadah pada awal Februari.
Dadah yang dirampas bernilai RM240 juta itu dianggarkan mampu memusnahkan kehidupan kira-kira 16 juta individu. Angka itu bersamaan hampir separuh rakyat negara ini.
Bayangkan jika aktiviti pengedaran dadah ini terlepas ke pasaran melalui laluan merentasi Laut China Selatan.
Sindiket ini ancaman langsung kepada keselamatan negara, meruntuhkan kesejahteraan sosial, menghancurkan institusi keluarga dan merosakkan masa depan generasi muda.
Dan hari ini, kita menyaksikan satu mesej jelas daripada pihak berkuasa: Malaysia bukan laluan mudah sindiket antarabangsa.
Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) 14 bulan lalu bukan sekadar penjenamaan semula.
Ini adalah isyarat bahawa kerajaan serius memperkukuh benteng keselamatan sempadan.
Apabila penguatkuasaan dipertingkat, dalang-dalang kartel mula gelisah. Seperti cacing kepanasan. Namun, keberanian ini membawa tekanan, ancaman dan ugutan jenayah.
Awal pagi Rabu, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak berhampiran sempadan Thailand dengan dua das tembakan.
Ini bukan amaran biasa. Ini cubaan menakutkan penguat kuasa. Tindakan pantas pasukan keselamatan suspek ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
Negara tidak akan tunduk kepada penyangak mahupun penjenayah.
Dalam kita memerangi jenayah rentas sempadan, sindiket orang tengah bergelar tonto berjaya ditumpaskan. Ia merupakan sindiket terbesar di Semenanjung selepas risikan selama enam (6) bulan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu termasuk penguat kuasa.
Lebih memalukan, ada pegawai yang disyaki menjadi dalang, tali barut dalam agensi sendiri. Dengan sogokan serendah RM100 hingga RM4,500 sebulan, lebih 300 syarikat didakwa membayar sindiket ini.
Rasuah membarah kerana ada yang gelap mata dengan habuan wang ringgit. Jika rasuah membuka pintu kepada kartel, maka kunci pertama yang perlu kita perketat ialah integriti.
Oleh itu tindakan tegas mesti diteruskan. Tiada kompromi. Tiada perlindungan politik. Tiada layanan dua darjat.
Malaysia telah menyatakan komitmen untuk berada dalam kelompok 25 terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang 2033.
Hari ini, Denmark, Finland dan Singapura kekal menerajui Indeks Persepsi Rasuah global 2025. Negara-negara ini dihormati kerana tadbir urus kukuh dan integriti institusi yang konsisten.
Kita mahu berada sebaris dengan mereka. Tetapi matlamat ini tidak akan berlaku jika penguat kuasa boleh dibeli dengan sogokan wang ringgit.
Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Maklumat daripada rakyat adalah nadi operasi.
Tanpa keberanian saksi dan pemberi maklumat, kartel terus bermaharajalela.
Kepada pegawai dan anggota yang menerima ancaman dan ugutan jenayah, rakyat bersama anda.
Kepada mereka yang bersekongkol, ketahuilah zaman kebal sudah berakhir.
Memerangi jenayah rentas sempadan adalah perjuangan berterusan, dan dalam perang ini, kita tidak boleh ada musuh dalam selimut.
Penguat kuasa wajar bertindak lebih agresif. Perkukuh sistem pemantauan dalaman. Tingkatkan perlindungan kepada pemberi maklumat.
Setiap kilogram dadah yang berjaya dirampas bermakna ribuan nyawa berjaya diselamatkan, dan setiap pegawai yang ditangkap kerana rasuah satu langkah membersihkan sistem.
Negara ini tidak boleh dipimpin oleh ketakutan. Negara ini mesti dipimpin berteraskan integriti, tanpa pegawai yang gelap mata dengan habuan rasuah sehingga keselamatan negara tergadai.
Adakah kita bersedia menegur, melapor dan menolak rasuah walaupun ia kelihatan kecil? Atau kita masih memilih untuk berdiam diri?
Keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama. Kita tidak mahu menjadi negara yang tunduk kepada jenayah dan mesej ini jelas kartel digempur, rasuah diganyang.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Grace Aisyah Kedayan.