Penculikan dipercayai palsu, mangsa dan penculik ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, keterangan mangsa mencurigakan, menyebabkan dia turut ditahan untuk siasatan./ Arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang dilaporkan diculik serta menahan seorang lelaki tempatan dalam operasi khas yang dilaksanakan kurang 24 jam selepas laporan diterima.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan diterima 19 Jun daripada ibu berusia 43 tahun yang mendakwa anak perempuannya diculik.
  • Suspek dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak RM18,000.
  • Mangsa ditemui di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru sekitar pukul 3.30 petang.
  • Naratif penculikan menimbulkan keraguan; wanita turut ditahan, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menerima laporan daripada seorang wanita berusia 43 tahun pada 19 Jun lalu yang mendakwa anak perempuannya diculik individu tidak dikenali.

“Dalam laporan yang diterima, suspek dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak RM18,000 bagi membebaskan mangsa.

“Susulan laporan berkenaan, satu Pasukan Khas melibatkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ IPK Johor dan JSJ IPK Sarawak ditubuhkan bagi menjalankan operasi menyelamat di sekitar bandaraya Johor Bahru iaitu lokasi terakhir mangsa dikesan.

“Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, pasukan khas berjaya menemukan mangsa di sebuah rumah di kawasan Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru sekitar pukul 3.30 petang,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Dalam operasi tersebut, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan merampas empat unit telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod tangkapan lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati naratif penculikan yang dimaklumkan mangsa menimbulkan keraguan, menyebabkan wanita berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Permohonan reman terhadap kedua-dua individu akan dibuat esok mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

Polis memaklumkan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu proses siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.